5 Nasihat 'Hot' Buat Anak Muda Yang 'Layu'
5 Nasihat 'Hot' Buat Anak Muda Yang 'Layu' | Sebagai golongan yang lebih berumur saya kadang-kadang sedih mendengar banyak persepsi buruk dan negatif dilemparkan kepada anak-anak muda di Malaysia. 'Anak muda makin layu!', 'Tak ada wawasan budak-budak sekarang ni!', 'Pemalas! Melepak je tau!' dan macam-macam lagi.
Membaca artikel 5 'Hot' Isu Yang Buat Anak Muda Makin Layu di ohbulan.com, kali ini saya ingin kongsikan sedikit nasihat buat anak-anak muda untuk bangkit dan menjadi anak muda yang bersemangat dan boleh dibanggakan....
1- Ingat Mereka Yang Sebelum Kita
Renungkanlah dan ingatlah...Kita boleh hidup di negara yang aman damai ini kerana siapa. Jasa dan pergorbanan siapa yang membolehkan kita mengecapi kesenangan dan kemakmuran hidup sekarang ini. Tanpa pahlawan-pahlawan dan nenek moyang kita dulu yang bergadai nyawa menentang penjajahan, di zaman pemerintahan Jepun, di era pemberontakan Komunis, dapatkah kita hidup seperti sekarang?
Ingatlah jasa pemimpin-pemimpin negara yang telah berusaha membina negara seperti yang kita ada hari ini. Fikirkanlah, apakah kita mahu menghancurkan apa yang telah mereka sediakan untuk kita? Tentu bodohlah namanya kita kalau kita menghancurkan kesenangan sendiri.
2- Bersuara Secara Berhemah
Bukankah kita rakyat Malaysia terkenal dimata dunia rakyat yang berbudi pekerti dan beradab sopan. Tapi kenapa bila tidak puas hati dan berbeza pandangan dalam satu-satu isu atau perkara kita sampai berpecah belah dan berpuak-puak? Masing-masing nak membuktikan yang mereka benar,mereka yang paling tahu,mereka lah yang paling berilmu. Benar kita hidup dalam sebuah negara yang merdeka, kita bebas dan berhak bersuara, tetapi bersuaralah secara berhemah. Nyatakan pandangan dengan cara yang betul bukan dengan cara menidakkan hukum agama dan undang-undang negara.
Jadikan perbezaan pandangan dan pendapat itu sebagai satu asas untuk kita mencari cara penyelesaian yang terbaik. Ingatlah, 'Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh'. Mahukah kita robohkan negara yang tercinta ini? Tentu tidak sama sekali!
3- Hidup Ini Realiti Bukan Fantasi
Kita hidup di dunia yang nyata. Kita berpijak diatas muka bumi. Kita bukan hidup di Facebook, kita bukan hidup di Whatsapp atau Wechat. Lalai bersosial di dunia maya bukan penyelesaian. Bukan juga salah, tapi berpada-pada. Banyakkan bersosial dalam masyarakat. Fahami dan perhatikan orang-orang di sekeliling kita. Lihat mereka yang lebih dewasa. Mereka lebih dulu lahir ke dunia, lebih dulu merasa 'masin garam' dari kita. Belajar dan ambil tindakan dalam hidup dengan sewajarnya.
4- Cintai Diri Sendiri
Masa di tadika, masa sekolah rendah, cikgu tanya besar nak jadi apa? 'Nak jadi doktor', 'Nak jadi lawyer', 'Nak jadi YB'. Tapi yang silapnya SPM pun tak lepas nak jadi apa? Apa tidak umur belasan tahun dah menyibuk hal-hal yang remeh-temeh, gossip-gossip murahan. Lebih parah lagi ramai yang berlumba-lumba jadi playboy, jadi playgirl. Kononnya cinta!. Cinta apa kalau diri sendiri pun tak terurus. Nak bagi anak orang makan apa?
Cinta dulu diri sendiri sebelum menggatal nak cintakan anak orang. Urus diri sendiri dulu. Jadilah orang yang ada hala tuju dalam hidup. Rancang masa depan baik-baik. Kalau dah jadi orang berjaya, matang mengurus hidup sendiri, kenyit mata je awek/pakwe pasti berlumba-lumba nak bersama.
5- Hidup Bermatlamat
Kita dilahirkan ke dunia ini dan hidup beragama. Tak kiralah agama apa pun kepercayaan kita, yang pasti semua agama mahu kita hidup punya matlamat. Bukan hidup membuang masa tak tentu arah. Masa kecil ada cita-cita, dah besar panjang lagi lah mesti ada.
Tetapkan matlamat sendiri. Lihat sekeliling kita. Lihat ahli keluarga, saudara mara atau orang-orang yang berjaya dalam bidang masing-masing. Bidang apa pun yang diminati, tetapkan orang yang dah berjaya sebagai contoh, sebagai 'role model'. Misalnya kalau ingin jadi internet marketer yang berjaya, contohi Irfan Khairi atau mereka yang lain.
Bina keinginan, mulakan langkah permulaan. Tetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang, belajar dan berusaha untuk mencapai cita-cita. Jangan putus asa jika gagal. Terus belajar terus berusaha lambat laun pasti akan berjaya.
Jadi, ayuh wahai anak-anak muda, bangunlah dan bangkitlah! Buktikan anak-anak muda Malaysia bukan layu, bukan malas. Come on! Wake Up and Up to Success!
Ulasan
Catat Ulasan
Tiada Toleransi Buat Spammer.
Komen Berisi Link Akan Dihapus.